Bagi sesetengah Mak, mereka berasa memotong kuku bayi adalah satu cabaran hebat. Mana tidaknya, jari halus dan lembut merisaukan Mak. Selain itu, anak kecil juga tidak boleh diam, bertambah susah proses memotong kuku.
Jangan risau, Mak. Saya ada beberapa tips untuk memudahkan acara memotong kuku anak untuk Mak yang baru kali pertama ingin lakukannya.

Kebiasaannya kuku anak kecil boleh panjang dalam tempoh 1 minggu. Untuk yang beragama Islam, memotong kuku adalah sunnah hari Jumaat. Jadi, moleklah kalau Mak boleh mengetip kuku anak pada penghulu segala hari, Jumaat.
Namun, ada saja auta anak kecil untuk mengelak kuku dipotong, kan. Mungkin mereka gerun tengok pengepit kuku tu. Hehe. Antara tips yang boleh dikongsi adalah :
Guna pengepit kuku khas untuk bayi
Andai kalian berasa pengepit kuku kecil itu sesuai untuk bayi atau anak kecil, mungkin kalian perlu berfikir sekali lagi. Walaupun kecil, tapi mata bilahnya tajam dan berbahaya untuk si kecil.
Jadi, sebaiknya gunalah pengetip kuku khas untuk si comel. Di pasaran pun banyak pengepit ini dijual, biasanya dalam kit pedicure manicure baby.

Potong ketika tidur
Anak kalian aktif dan susah berdiam walau seketika? Ha, manfaatkan sepenuhnya sewaktu mereka tidur. Umum tahu, anak kecil hanya bertenang dalam tempoh tidur saja.
Mungkin kalian boleh meminta bantuan dari pasangan untuk memangku bayi atau memegang tangannya untuk memudahkan proses memotong kuku.
Seusai mandi
Kuku anak kecil nipis, dan dilihat seperti lembut. Tetapi awas, ada juga yang tajam dan boleh menyebabkan luka. Jadi, seeloknya memotong kuku selepas mandi. Hal ini kerana kuku menjadi lembut selepas terkena air. Ia akan menjadikan proses mengetip kuku cepat selesai.

Apabila kuku pendek dan bersih, risiko untuk ada masalah kesihatan lebih terjamin. Insyaallah. Jadi, jom jadikan memotong kuku sebagai rutin apabila menjelma Jumaat.