Ini adalah perkongsian daripada Puan Maiza Ismail tentang pengalamannya berhadapan dengan anak yang kerap mengamuk atau ia dikenali tantrum.
Pernahkan tengok drama tantrum anak di tempat awam. Ala yang selalu menjerit meraung-raung, berguling-guling atas lantai ataupun main campak-campak barang.
Jadi kalau nampak anak kecil meragam begitu, janganlah Mak Ayah pandang pelik pulak. Itu normal bagi anak dalam lingkungan umur 2 hingga 4 tahun. Mereka belum pandai kawal emosi lagi. Mai nak kongsikan tips mengawal anak tantrum di tempat awam.
Cari punca anak tantrum
Mak Ayah semestinya tahu perangai anaknya bagaimana. Kebiasaannya anak mudah marah apabila berada dalam keadaan lapar, sakit, bosan, penat ataupun stress. Ya betul stress. Anak kecil pun ada stress tersendiri. Jadi bagi mengelakkan anak mudah marah, Mak Ayah perlu kenalpasti punca anak akan marah.

Sebagai contoh, sebelum keluar dari rumah pastikan anak sudah makan dan boleh sediakan snack untuk kudapan di dalam kereta. Ini untuk mengelakkan anak tantrum secara tiba-tiba.
Langkah terbaik, Mak Ayah membuat rekod perkembangan emosi anak sepanjang hari. Sejak dari bangun tidur sehingga masuk tidur sebelah malam. Hasil dari rekod tadi, Mak Ayah boleh membuat analisa dan mencari penyelesaian bagi menangani masalah tantrum dari berlaku.
Perhatikan gejala awal anak tantrum
Setiap anak kebiasaanya akan menunjukkan tanda-tanda meragam seperti gelisah dan merengek sebelum mula tantrum. Mereka menjadi tidak sabar dalam menyelesaikan sesuatu atau membaling barang yang ada disekelilingnya atau bernafas secara mendalam ataupun terdapat perubahan mimik mukanya. Apabila wujud tanda begini,ibubapa kena cepat mengalih perhatian anak.
Alihkan perhatian
Mak Ayah perlu pandai dan kreatif dalam mengalihkan perhatian anak yang tantrum. Jangan naik marah apabila anak tantrum. Pendekatan yang boleh digunakan seperti mengajak anak menyanyi atau pujuk anak membeli makanan kesukaannya dan lain-lain.
Elak gunakan gajet untuk mengalihkan perhatian anak. Jika ini yang berlaku, anak akan ulangi lagi demi mendapatkan apa yang dihajatkannya.
Bawa anak ke lokasi yang jauh dari orang

Anak yang sedang tantrum memang sukar dipujuk. Jadi bawa anak ke lokasi yang sunyi dari orang. Contohnya jika di taman permainan anak mengamuk jadi Mak Ayah boleh bawa anak ke suatu sudut yang jauh dari pengunjung lain. Pujuk atau biarkan anak menangis sehingga puas. Kemudian peluklah dia dan bisikkan kata-kata positif kepadanya.
Berikan pelukan
Mak Ayah boleh berikan pelukan mesra kepada anak dan ungkapkan kata-kata yang positif. Abaikan pandangan serong orang sekeliling dan perasaan malu bila anak tantrum begitu, sebaiknya fokus pada anak. Apabila kita fokus pada anak,mereka akan rasa lebih selamat dan dihargai.
Jangan menyerah dan menuruti keinginan anak ketika tantrum
Anak yang tantrum ni kadangkala hanya permainan mereka untuk mencari perhatian Mak Ayah supaya memenuhi segala kehendaknya. Jadi Mak Ayah disarankan tidak mudah putus asa dan mengalah dengan rengekan anak tu.
Sekali kita menuruti kehendak anak, mereka akan mengulangi sikap tantrum tu supaya keinginan mereka ditunaikan. Ia akan menjadikan tantrum sebagai senjata mereka kepada Mak Ayah. Pada saat anak tantrum, Mak Ayah perlu kekal bertenang dan ulang kata yang kita tak suka perangai mereka begitu.
Ajak anak bersembang apabila sudah reda dan ajar anak meminta maaf
Bila keadaan sudah reda dan tenang Mak Ayah bolehlah ajak anak bersembang. Terangkan pada anak salah silap mereka ketika berperangai begitu. Amat penting anak belajar kawal emosinya. Emosi yang stabil membantu anak membesar dengan baik.
Selepas terangkan kepada anak cara mengawal emosinya, ajarkan juga anak memohon maaf kepada Mak Ayah kerana bersikap begitu. Tunjukkan teladan yang baik kepada anak. Jika Mak Ayah ada melakukan kesalahan pada anak pun, jangan malu meminta maaf daripada anak. Itu petanda kita menghormati anak juga. Mereka akan rasa dihargai walaupun masih kecil.
Tantrum anak biasanya bukan terĺalu lama. Sekitar dalam 5 ke 10 minit je. Ibubapa perlulah bertenang dan bersabar dalam menangani kerenah anak ketika usia begini.”