April Bulan Kesedaran Autism

Sebenarnya saya mendapat info tentang bulan April adalah bulan kesedaran Autism sejak tahun 2018. Ia berlaku secara tidak langsung apabila saya mengikuti satu Facebook seorang bapa yang mempunyai anak autism. Ralit follow sebab bapanya siap cipta lagu dan buat ilustrasi komik untuk menarik perhatian orang ramai tentang autisma ini.

Dan, pada April 2019, selepas 6 bulan menjalani beberapa sesi terapi (cara kerja, pertuturan dan pendengaran), anak lelaki saya, Aysar, disahkan oleh doktor padeatrik sebagai autistic spectrum disorder(ASD). Ia bermaksud kanak-kanak tersebut mempunyai simptom atau ciri-ciri austima yang ringan dan/atau mungkin mempunyai simptom yang teruk.

Apa itu Autism?

Autisme adalah kecelaruan perkembangan. Ia boleh dilihat seawal 6 bulan pertama kelahiran. Namun, kebiasaannya ia disedari dalam tempoh 3 tahun pertama kehidupan.

Autisme ini melibatkan gangguan seseorang itu dalam berinteraksi (sosial), komunikasi secara lisan atau non-verbal. Seseorang yang mempunyai autisme ini mempunyai minat yang sangat terhad. Contohnya, memilih makan dan melakukan tingkahlaku yang pelik serta cenderung untuk menyakiti diri mereka (memukul kepala atau menggigit diri sendiri).

Ciri-ciri Autism

  1. Kemahiran Sosial

Anak-anak autism ini berasa susah untuk berinteraksi dengan orang persekitaran. Mereka juga mempunyai masalah dalam bersosial. Anak-anak istimewa ini ada perasaan untuk berkawan namun tidak tahu bagaimana untuk mendekati kawan-kawan.

Jika anak kalian berada dalam spektrum ini, mungkin ada simptom berikut yang boleh diperhatikan pada usia 8-10 bulan :

  • dia tidak memberi respon pada namanya semasa umur 1 tahun
  • dia tidak menghiraukan persekitaran (bermain, berbual, berkongsi)
  • dia lebih suka menyendiri
  • dia mengelak untuk disentuh
  • dia tidak suka dipujuk jika dalam keadaan merajuk
  • dia tidak faham perasaan (diri sendiri atau orang lain)
  • dia malas untuk menyambut tangan Mak ketika bertatih

2. Komunikasi

Kebanyakan anak autisme ini tiada keupayaan untuk bercakap. Jika ada pun ketika bayi, tetapi kebolehan bercakap hilang selepas itu. Namun, anak autisme mula bercakap kemudian.

Berikut adalah masalah alam berkomunikasi bagi anak autisme:

  • lambat dalam pertuturan
  • bersuara robot
  • mengulangi perkataan yang sama
  • sukar menyebut dengan baik
  • tidak memberi respon dalam bercakap
  • tidak dapat mengenalpasti lawak atau perli
  • tidakberkebolehan untuk fokus lama dalam sesi perbualan

Info-info yang saya kongsi ini melalui penerangan doktor dan bahan bacaan. Tidak semua senarai ini ada dan berlaku pada Aysar. Dan, disebabkan itu, Aysar tidak layak mendapat kad OKU.

Bukan untuk menafikan keadaan anak, namun doktor pakar memberitahu Aysar masih berpotensi untuk menyertai dan bersekolah di sekolah arus perdana jika saya dan suami ‘ambil reverse action’.

Setiap Mak dan Ayah lebih mengenali dan mengetahui keadaan sebenar anak mereka. Nantikan sambungan Part II kisah Aysar dengan apa itu reverse action.